Blogger Layouts
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam haditsnya:

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya adalah wanita yang shalihah. Bila engkau memandangnya, ia menggembirakan (menyenangkan)mu. Bila engkau perintah, ia menaatimu. Dan bila engkau bepergian meninggalkannya, ia menjaga dirinya (untukmu) dan menjaga hartamu.”

Jumaat, 25 Februari 2011

Di UK, Kebebasan Adalah Kebogelan


Seratus ribu orang di United Kingdom telah memeluk Islam dalam sedekad yang lepas, kata seorang wartawan penyiaran, Lauren Booth.
Bagaimanapun reaksi media di Britain mengenai pendedahan ini dan perkara lain berkaitan dengan Islam adalah dramatik dan negatif.
Sehinggakan 'The Independent', akhbar Britain yang terkenal dengan pendekatan neutral, sanggup melabel penyebaran Islam sebagai "PengIslaman Britain".
Panggilan ini tentu sahaja mampu menimbulkan kegusaran banyak pihak yang selama ini menganggap Islam satu agama yang ekstremis.
"Ingat", kata Booth, "ini bukan risalah perkauman yang diedarkan oleh masyarakat di pinggiran, ini akhbar utama yang sangat disegani.
"Ia membuatkan anda terfikir bahawa memeluk Islam bukan sesuatu tindakan yang popular," katanya tergelak, merujuk kepada fitnah yang dilemparkan oleh media British terhadapnya sejak memeluk Islam tahun lepas.
Satu petikan dari The Independent mendedahkan bagaimana negatifnya pandangan rakyat British terhadap tindakan beliau memeluk Islam dengan mengajukan soalan ini kepada Booth: "Wanita jenis apa yang sanggup memeluk agama yang menganjur penyeksaan, penindasan dan pembunuhan beribu-ribu orang Kristian, homoseksual dan wanita yang berfikiran bebas di seluruh dunia?"
"Ini langsung tidak masuk akal," kata Booth kepada hampir 300 hadirin semasa syarahan umum di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, baru-baru ini. "Tiada langsung pemikiran kritikal yang digunakan apabila bercakap tentang Islam. Tiada seorang pun yang bertanyakan soalan-soalan kerohanian seperti "Bagaimanakah sifat Allah?" "Apa yang anda tahu tentang Nabi (Muhammad)?" "Apakah maknanya jika kita sembahyang lima kali sehari?" "Adakah Islam spiritual? Saya teringin betul ditanya soalan-soalan sebegini."
"Sebaliknya, selepas saya habis sesuatu temubual di Britain, soalan yang biasa diajukan adalah "Adakah tudung yang anda pakai itu ketat?" atau "Tak rindu ke nak pergi pub?"
Agama Tidak Popular Di UK
Booth berkata frasa "hidup pada Zaman Jahiliah" lazim digunakan dalam menggambarkan cara hidup Islam.
Sebaliknya, cara hidup British dan Amerika adalah dianggap sebagai moden dan sesuatu yang didambakan.
Islam dianggap sebagai tidak sesuai dengan nilai-nilai British, yang sebelumnya bersifat Kristian, tetapi kini tidak lagi diamalkan dalam apa-apa cara yang bermakna.
Booth sendiri sebelum ini ialah seorang Yahudi, tetapi berkata beliau dibesarkan tanpa penekanan kepada agama. Beliau mendakwa bahawa kebanyakan anak orang kulit putih di Britain tidak mempunyai agama. Ibu bapa akan 'menandakan' anak mereka sebagai Kristian di ruang bancian hanya kerana ia menjadi kebiasaan.
"Yang pastinya, semasa generasi saya membesar, tiada siapa yang memastikan diri mereka ke gereja setiap Ahad. Namun ketika saya kecil saya suka berdoa.
Semasa berusia tujuh tahun, saya akan merapatkan kedua-dua tangan untuk berinteraksi dengan Tuhan."
Kebebasan Bermakna Kobogelan
"Kami beranggapan bahawa kami lebih kaya dari segi emosi dan psaikologi berbanding wanita Islam," kata Booth, "tetapi dalam masyarakat kami ini, kebebasan bermakna kebogelan.
Beliau berkata seorang wanita di Britain merasa berhak untuk mendedahkan tubuhnya sebanyak mana dan pada bila-bila masa yang dikehendakinya.
"Kami juga ditanam dengan perasaan perlu untuk kelihatan cantik di hadapan lelaki pada setiap peringkat usia, sehinggalah zaman pencen. Jika anda tidak berusaha mengghairahkan setiap lelaki yang anda temui dan menarik perhatian mereka secara seksual, anda dianggap 'tidak menjaga badan'.
"Panggilan yang paling teruk ialah jika anda dikatakan "seperti mak orang". Peranan sebagai ibu dianggap sebagai "jalan mati". Cubalah bayangkan."
Beliau berkata, sememangnya sesuatu yang menyedihkan apabila seseorang wanita itu dianggap tiada aspirasi selain hanya untuk kelihatan cantik bagi lelaki.
"Ini seolah-olah mengatakan, kalau sudah tidak cantik, tiada lagi yang boleh didambakan selain kematian. Tiada peranan lain dalam masyarakat untuk wanita selain untuk kelihatan seksi dan cantik sahaja.
"Tetapi ingat, ini yang dikatakan kebebasan."
Eksploitasi Wanita Dan Kanak-Kanak
Beliau berkata Barat telah mewujudkan sebuah masyarakat yang mengeksploitasi wanita dan kanak-kanak dari segi seksual.
Pada dua tahun lepas, sebuah pasar raya terkemuka menjual seluar dalam jenis "thong" untuk budak perempuan berusia 7 tahun. Di bahagian hadapan tertera "begitu ramai budak lelaki, namun tidak cukup masa".
"Dan ia juga mempunyai gambar buah ceri (lambang keperawanan) di atasnya!" jelas Booth. "Bayangkan, dibuat untuk budak perempuan berusia 7 tahun!"
Bagaimanapun, beliau gembira dengan kebangkitan segera golongan ibu di Britain untuk mengecam produk keji itu. Dalam satu bantahan, mereka telah keluar beramai-ramai dan membakar seluar dalam berkenaan di hadapan pasar raya itu.
Tetapi Booth berkata hakikat yang sebuah pasar raya terkemuka hingga boleh memikirkan untuk membuat dan mengedarkan pakaian sedemikian rupa menunjukkan di mana kedudukan wanita dalam masyarakat.
Jenama Playboy, yang menampilkan gadis-gadis muda sebagai 'barang permainan' lelaki, kini boleh dilihat atas kotak pensil bagi kanak-kanak seawal enam tahun.
Tanggapan Salah Akan Wanita Islam
Booth mengakui beliau pernah memandang rendah wanita Islam sebelum memeluk Islam. Bagaimanapun, lawatan ke negara-negara Timur Tengah dalam kapasiti beliau
sebagai seorang aktivis hak asasi manusia, mendedahkan kepada beliau personaliti sebenar seorang wanita Islam.
Mengenang semula lawatan beliau ke Lubnan pada 2007 untuk menemubual seorang pemerintah militia Hezbollah, Booth berkata beliau bersua dengan beberapa orang siswi, yang berhijab penuh, begitu lantang bersuara dan pintar.
"Mereka bukannya wanita yang hidup dalam ketakutan, yang akan dipaksa berkahwin dengan seorang yang tidak diingininya seperti yang digambarkan oleh mereka di Barat.
"Mereka mengiringi saya untuk menemubual seorang sheikh, dan saya kagum betapa bebas mereka mencelah semasa beliau berbicara, dengan sekali-sekala mengangkat tangan untuk meminta beliau berhenti sebentar untuk membolehkan mereka menterjemah untuk saya."
Di UK pula, Booth berasa kagum dengan perbezaan kekuatan wanita Islam berbanding yang bukan Islam. Rakannya, seorang ibu muda dengan dua orang anak boleh menguruskan keluarga pada waktu siang dan belajar untuk ijazah perubatan pada sebelah malam. Pada hujung minggunya pula beliau masih mampu menjalankan kerja sukarela.
"Berbanding dengan seorang rakan bukan Islam saya dengan hanya seorang anak, tidak mampu meneruskan kerja sambilannya tanpa bersungut, tidak memasak untuk keluarga, apatah lagi melakukan kerja-kerja sukarela!"
Booth percaya tenaga bagi menjaga keluarga dan menjalankan kerja sukarela datangnya hasil daripada solat.
"Saya juga rasa ia hasil daripada kebijaksanaan dan tidak meminum arak!" ketawa beliau.
Sistem Tidak Bertuhan Menjejaskan Mereka
Beliau kini sedar yang Britain adalah lebih miskin secara emosi dan psikologi, berbanding negara-negara dunia ketiga.
Booth berkata UK dituduh menggagalkan kebajikan kanak-kanak dan berada di tangga terbawah di kalangan 21 negara maju dalam hal ini.
Walaupun sebuah negara kaya, Pesuruhjaya Kanak-kanak bagi England berkata UK sedang menyaksikan satu generasi golongan muda yang tidak gembira, tidak sihat dan terbabit dalam tingkahlaku berisiko, hubungan kurang mesra dengan anggota keluarga dan rakan, harapan kurang menggunung dan sentiasa rasa tidak selamat.
Sementara itu, penemuan 'UK Report' menunjukkan kemiskinan kanak-kanak telah berganda sejak 1979 sementara 31 peratus daripada kanak-kanak mengaku pernah mabuk dua atau tiga kali.
"Jadi hooray bagi kebebasan. Hooray kepada dunia tanpa Tuhan dan tanpa garis panduan etika.
"Siapa yang patut dipersalahkan melainkan diri sendiri kerana kurangnya bimbingan moral?" tanya beliau.
Booth berada di Malaysia sebagai penceramah undangan bagi Viva Palestina Malaysia, satu daripada cabang Viva Palestina di UK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk mewujudkan dengan cepat sebuah negara Palestin yang bebas.

Tiada ulasan: