Blogger Layouts
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam haditsnya:

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya adalah wanita yang shalihah. Bila engkau memandangnya, ia menggembirakan (menyenangkan)mu. Bila engkau perintah, ia menaatimu. Dan bila engkau bepergian meninggalkannya, ia menjaga dirinya (untukmu) dan menjaga hartamu.”

Jumaat, 25 Mac 2011

Bagaimana Jika Allah Mencintai Kita?


Lazimnya andai kita mencintai atau merindui seseorang, kita mempunyai keinginan untuk memberitahu orang lain. Seboleh-bolehnya biar semua orang tahu bahawa kita sedang mencintainya. Hati merasa bahagia andai perasaan itu dapat dikongsikan bersama.
Melalui jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter, kita dapat membaca pelbagai luahan mereka yang sedang bercinta. Antaranya:
"Saya sayang abang."
"Saya rindu ibu."
"Saya cinta kamu semua."
Agaknya, bagaimana pula jika Allah mencintai seseorang?
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: "Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!" Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata: "Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia." Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini." (Hadis Riwayat Bukhari)
MasyaAllah! Lihatlah cinta Allah..Sungguh luar biasa hebat..
Ketika Allah mencintai seseorang, Allah yang Maha Agung tidak cukup dengan hanya mengatakan "Aku cinta si dia!"
Tetapi Allah memaklumkan kepada seluruh makhluk-Nya.
Apa kata Allah dalam hadis tersebut?
"Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!"
Maka Jibril pun membuat pengumuman :
"Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia."
Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini.
Oh Ar-Rahman Ar-Rahim, bahagianya mereka yang benar-benar dicintai Allah. Pasti hidup mereka sentiasa tenang dan diberkati.
Bayangkan jika semua pembaca iLuvislam.com disayangi Allah SWT. Pasti dunia ini dipenuhi dengan kebahagiaan.
Tidakkah kita mahu menjadi seorang yang benar-benar dicintai Allah?
Namun, selama ini, cinta siapa yang kita kejar?

"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah Al-Baqarah: 284)
"...Kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi..." (Surah Al-Munaafiquun:7)
Merasa bahawa kita memiliki sesuatu secara mutlak akan mengundang kesengsaraan jiwa kerana apa yang ada pada kita itu boleh hilang pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kita tidak akan redha atau berpuas hati dengan sebuah kehilangan, dan akan menjadi tertipu dengan sebuah pemilikan yang sementara.
Kita tidak memiliki apa-apa dan kita juga bukan milik siapa-siapa selain Dia. Allah lah yang memiliki jiwa-jiwa kita dan segala yang ada di langit dan di bumi. Sedarlah bahawa kita akan kembali, kerana pemilikan Dia adalah sebuah pemilikan tunggal, hakiki dan abadi.
Adapun istilah "milik" yang kita gunakan dalam pembicaraan sehari-hari itu hanyalah sebuah kata yang hakikatnya merujuk kepada sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada kita buat sementara, sebagai pinjaman. Setiap sesuatu yang diberikan kepada kita untuk dimiliki di dunia ini pasti akan hilang apabila Dia menentukannya.
Tidak ada sesuatu pun yang berada di atas muka bumi ini yang terlepas daripada pemilikan Allah. Semuanya adalah kepunyaan-Nya secara mutlak, dan hanya Dia yang berhak menentukan dan mengizinkan sesuatu itu berlaku terhadap segala isi bumi. Dia adalah pemilik mutlak yang tunggal, yang mengatur segala perjalanan dunia ini.
"Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan." ( Surah Al-Anbiyaa':22)
Atas kesedaran bahawa kita adalah milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan kepada Allah. Hanya dia yang berkuasa memberikan keputusan terhadap diri kita. Hanya dia yang tahu apa terbaik untuk kita lalu memerintahkannya, dan apa yang buruk untuk kita lalu melarangnya.
Apabila Dia memiliki kita, adakah kita punya hak untuk menentang? Setelah seorang tuan memiliki seorang hamba, tugas seorang hamba adalah ikut dan tunduk patuh kepada tuannya dengan ketaatan yang tiada berbelah bahagi.
Segalanya yang kita miliki adalah milik mutlak Allah. Sekalipun kita merasa teramat sayang terhadapnya, ia tetap akan kembali kepada Allah. Isteri atau suami adalah anugerah Allah. Kita memilikinya hanya untuk sementara dalam melayari perjalanan di atas muka bumi. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambilnya daripada kita tanpa perlu meminta persetujuan atau kebenaran kita, kerana sememangnya itu adalah miliknya.
Anak-anak adalah anugerah bernilai daripada Allah untuk sementara dan kita takkan selama-lamanya bersama mereka. Kemungkinan Allah memanggil kita kembali sebelum mereka, atau mereka yang diambil pergi.
Harta adalah kurniaan Allah. Apa jua cara ia luput daripada kita bukan permasalahannya. Intinya adalah ia pasti akan luput sedikit demi sedikit kerana Allah yang memberikan kita harta dan Dia menghilangkan daripada kita sepertimana yang dikehendaki-Nya. Hatta jiwa kita adalah hak mutlak Allah dan pasti kembali kepada-Nya. Apa yang tidak menjadi milik-Nya daripada sekian perkara yang kita 'miliki'? Semuanya, adalah kepunyaan Dia.
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah al-Baqarah: 284)
Jika kita adalah pemilik mutlak kepada sesuatu, maka semestinya kita boleh menghalang ia hilang daripada kita. Kita pasti tidak akan pernah mampu berbuat demikian. Kita mungkin boleh berbicara dengan yakin, bahawa kita memiliki sesuatu secara pasti, namun kita akan tersadung apabila takdir Allah mendahului kehendak kita.
Hilang, lenyap, luput, mati, tamat, semuanya akan berlaku dan kita sedikit pun tidak dapat menghalangnya. Takut kehilangan dan berusaha untuk terus memiliki sesuatu adalah tanda yang jelas bahawa kita tidak memiliki sesuatu tersebut. Jika kita memilikinya, kita takkan pernah bimbang dan takut.
Dalam memahami pemilikan hakiki ini, Islam mengajar kita untuk bersikap sederhana dalam segala sesuatu. Apabila kita mencintai, janganlah sehingga melampaui batas dan ingin mendahului ketentuan Allah. Apabila kita memiliki sesuatu harta (yang hakikatnya adalah pinjaman), janganlah terlalu bakhil untuk menginfak di jalan Allah. Islam tidak melarang kita daripada berusaha untuk mendapatkan kurnia daripada Allah, kerana dia memberi apabila dia berkenan.
Apa yang paling penting adalah menyerap makna pemilikan hakiki oleh Dia dan tidak merasakan bahawa kita adalah pemilik mutlak kepada segala sesuatu. Dia adalah pemilik dan kita adalah peminjam, kitalah yang berhajat kepada apa yang menjadi milik-Nya, dan dia sama sekali tidak rugi dengan apa yang diberikan-Nya kepada kita.
"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Al-Fathir: 15)
Kita selalu merasa ingin memiliki sesuatu. Apabila kita telah memilikinya, kita selalu ingin agar ia tidak luput daripada kita. Kita selalu lupa bahawa ia adalah pinjaman yang pasti diambil kembali. Hai jiwa yang sering tidak puas dengan apa yang ada, dan sentiasa mengejar sesuatu yang bukan milik kita, sedarlah bahawa Dia adalah pemilik hakiki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi. Apabila engkau meminta, mintalah kepada Dia. Apabila engkau ingin memberi, berilah kerana Dia.
Wallahua'lam.

Tiada Maaf Bagimu


Ustaz,
Seorang rakan saya pernah melakukan kesalahan kepada saya seperti mengumpat saya, kemudian, dia pernah berterus terang tentang perbuatannya dan meminta maaf. Tetapi saya agak keberatan memaafkannya, bolehkah kita tidak memaafkan orang yang meminta maaf dari kita? Apakah hukumnya ?
- Ingin tahu-
Jawapan Ust Zaharuddin :
Dosa mengumpat tidak syak lagi adalah sebuah dosa yang agak besar. Ia disebutkan oleh Allah SWT  :
ertinya : " Adakah kamu suka memakan daging mayat saudara kamu ? " ( Al-Hujurat : 12 ) .
Rasulullah pernah menggunakan satu teknik sastera dalam mengingatkan sahabat tentang bahaya mengumpat. Di satu ketika Jabir r.a mengatakan bahawa dia bersama Nabi SAW di satu tempat dan terbau busuk di tempat itu, lalu Nabi SAW berkata  " Adakah kamu tahu apakah bau ini ? , inilah bau orang-orang yang mengumpat orang mukmin" (Ahmad, dengan perawinya thiqat).
Soalan anda berkisar tentang hokum memaafkan orang yang bersalah yang meminta maaf. Dalam Islam terdapat pelbagai jenis dosa terhadap orang lain. Sebahagian darinya terdapat peruntukan hukuman Allah di atas dunia, seperti membunuh, merompak dan menuduh zina orang yang baik.
Jika dosa orang itu di dalam katergori besar di atas, maka hukum memaafkan mereka adalah tertakluk kepada si mangsa, jika tidak dimaafkan, si pembunuh akan dibunuh balik, si perompak akan di potong tangan dan si penuduh akan di sebat 80 kali sebatan. Ini bermakna, hukum memaafkan kesalahan besar seperti ini tidak wajib ke atas mangsa. Bagaimanapun, Islam sentiasa menggalakkan umatnya bersikap belas dan memaafkan orang bersalah yang telah bertaubat dan insaf dengan benar.
Adapun bagi kesalahan mengumpat, ia bukanlah satu kesalahan yang sangat besar sehingga terdapat peruntukan hukuman Allah di dunia ini. Justeru, apabila si pesalah mengaku salah dan memohon maaf, amat digalakkan untuk memaafkannya berdasarkan sebuah hadith yang menyebut bahawa sesiapa yang dipohon kemaafaannya (dengan ikhlas), dan ia menolaknya, maka yang menolak tidak akan dapat merasai telaga Nabi Saw di akahirat kelak. (Riwayat At-Tabrani. Albani : Dhoif)
Kesimpulannya, bagi kesalahan-kesalahan kecil, adalah tidak wajar seseorang itu tidak memaafkan individu yang telah mengakui dosanya. Bagaimanapun, hak untuk tidak memaafkan jika berlaku dosa besar masih tertakluk kepada si mangsa. Cuma Islam mengalakkan pengampunan berdasarkan firman Allah SWT :  
Ertinya : "Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang- orang yang sabar. " ( An-Nahl : 126 )
Ayat ini dengan jelas, mempromosi sabar atau memaafkan kesalahan besar seseorang terhadap kamu. Sebagaimana RSAW memaafkan kesalahan puak musryikin Mekah ketika pembukaan Fath Makkah dengan katanya
لا تثريب عليكم اليوم , يغفر الله لكم
"Tiada pembalasan ke atas kamu semua pada hari ini, Allah akan mengampunkan kamu" (Al-Amwal , Abu 'Ubaiyd, 143 dengan sanad hasan tetapi Mursal) Nabi diriwayatkan juga berkata ketika itu
نصبر ولا نعاقب
" Kami sabar dan tidak   akan membalas " (Riwayat Ahmad, 5/135 ; At-Trmidizi, 4/361 ; Sohih menurut al-Hakim dan disepakati az-Zahabi)

Dia Selalu Ada


Hidup di dunia. Kau berdepan kesukaran yang menggila. Ada saat-saatnya kau berasa seolah-olah telah ditakdirkan untuk kalah,dan semua yang telah kau dilakukan terlihat salah.
Seorang insan berdosa dan menyedari dosa besarnya. Kemudian ia merasa tidak mampu selamat daripada dosa-dosa yang lalu. Terkadang fikirannya menyimpang ke arah kejahatan. Fikirannya mengatakan yang dia sudah tidak dapat selamat, dan nafsu pula mengajaknya supaya menjadi lebih khianat.
Lalu dia terlihat tegar mengotorkan janji Tuhan mengenai syurga dan kemanisannya. Tunggu dulu! Jangan kau melulu menghukum saudaramu itu. Mungkin dia bukan begitu tetapi dia telah terperangkap dengan semalam yang silap. Fikirnya dia sudah menjadi pembiadab, dan dirinya sudah tiada harap.
Manusia yang terlihat hanyut, ada masanya tidak memilih untuk terus menjadi hanyut. Namun, ada masanya mereka tertewas, dan masalah yang paling besar adalah mereka terus tertewas.
Ada manusia yang selalu berasa tertekan dan merasakan masalah terlalu banyak, terlalu membebankan. Andai kehidupan itu ruang bilik peribadi mereka, maka masalah yang dihadapi seoalah menghimpit diri ke hujung sudut dan pastinya setiap jasad akan menjadi remuk dan merenyuk.
Percayalah, di mana ada masalah, di situ jua ada Allah. Masalah itu diciptakan supaya kau sedar bahawa kau hanyalah hamba, perlu lebih mendamba. Agar haus tikar sembahyangmu kerana sujud yang begitu asyik.
Allah SWT berfirman:
"Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - [Surah Az-Zumar: 53]
Siapa kau? Pendosa yang tercelaka? Pemegang beban masalah dunia? Jangan berhenti berharap. Jangan hukum dirimu sebelum kau dihukum. Masalah itu hadiah, ia anugerah dan ia juga pendekat dirimu dengan Allah.
Percayalah, setiap kesusahan itu pasti akan berakhir dengan kegembiraan jika kau punya kesabaran.
Setiap kali datangnya saat-saat yang kau tidak mahu bernafas lagi, ingatlah yang sebenarnya Pencintamu sedang menguji.
Ya Allah,rahmatilah dan hadiahkan kami yang tertewas dan terhimpit ini dengan segala kemudahan.
Bila berakhirnya semua ini, bila habis Kau menguji diri ini, hiaskanlah wajah-wajah berdosa ini dengan senyuman dan ketenangan dari-Mu.
Wallahua'lam.

Niat Tak Pernah Menghalalkan Cara


Bersekedudukan sudah menjadi trend dalam kalangan anak-anak muda hari ini. Tanpa memikirkan agama dan adat ketimuran, tanpa segan silu golongan ini menjalani kehidupan bagai sepasang suami isteri yang sah.
Walaupun di sisi agama dan undang-undang mereka ini melakukan kesalahan tetapi disebabkan tiadanya rasa malu pada Si Pencipta, tanpa segan silu perbuatan yang diteruskan dengan tidak pernah ada rasa berdosa.
Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar. Mengapa perbuatan keji dan mungkar ini terjadi? Apakah sudah tiadanya nilai moral anak-anak muda kita hari ini? Jawapannya ya. Semakin nipis dan hilang adat ketimuran dalam hati mereka. Sudah tidak menghiraukan lagi tentang halal dan haram sehingga sanggup tinggal serumah dengan lelaki ataupun wanita bukan muhrim dan paling menyedihkan perbuatan itu dilakukan oleh muda mudi Muslim.
Menurut Penceramah bebas, Ustaz Hazlin Bahrin, anak-anak muda hari ini mudah dibuai dengan keseronokan yang singkat. Akal dan fikiran terlalu dangkal untuk menilai apa yang baik dan apa yang buruk. Mereka juga sering tersilap membuat perhitungan dek kerana hati yang lemah untuk melawan gejolak nafsu yang tidak didorong ke arah kebaikan.
Ini antara faktor utama mengapa isu-isu yang tidak sepatutnya berlaku ke atas anak-anak muda Muslim hari ini. Seharusnya akal yang sempurna itu digunakan untuk menilai setiap akibat daripada perbuatan sendiri.
Tegasnya lagi, apa yang terjadi hari ini, jelas menunjukkan jiwa anak muda masih dijajah penjajah iaitu dengan gaya hidup barat. Budaya bersekedudukan ini adalah budaya barat dan diadaptasi oleh anak muda di negara ini.
Tanpa mereka menyedari bahawa perbuatan mereka itu sebenarnya perbuatan yang menghampiri berlakunya penzinaan iaitu persetubuhan haram yang secara langsung akan merosakan keharmonian dan kesucian institusi kekeluargaan Islam.
Katanya lagi, segalanya telah diterangkan dengan jelas dalam firman Allah yang menyebut,'Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kepada kerosakan).' –surah al-Isra:32
Faktor Kewangan Bukan Puncanya
Jika ditanya mengapa perbuatan tidak bermoral ini berleluasa, rata-rata memberi alasan masalah kewangan dan tidak mampu menyewa sendirian. Itu alasan yang cetek. Sama sekali faktor kewangan bukanlah puncanya. Menurut Ustaz Hazlin, penyelesaian kepada masalah kewangan adalah bukan mencari rumah sewa yang disewa bersama lelaki sebaliknya perlu mencari pasangan penyewa yang sama jantina. Tetapi sebaliknya berlaku. Sah, masalah kewangan bukannya sebaliknya masalah sukar mengawal nafsu menjadi punca utama. Ibarat orang berkata hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
"Dan niat tidak pernah menghalalkan cara. Jika niat mahu berjimat cermat, caranya bukanlah turut menyewa tidak kira lelaki mahupun perempuan. Sebaliknya perlu mengelakkan terjadinya perkara-perkara yang membawa kepada perbuatan bersekedudukan," tegas beliau lagi.
Tambahnya lagi, faktor utama mendorong berlakunya bersekedudukan ialah kerana kurangnya didikan agama dalam jiwa anak-anak hari ini. Perkara yang salah perlu dilihat dengan mata kebenaran. Dan faktaor yang menambahkan lagi berleluasanya perkara ini ialah kerana semangat kejiranan hari ini yang semakin pudar.
Sikap tidak ambil kisah dengan keadaan sebelah menyebelah membuatkan mereka yang menjalankan aktiviti tidak bermoral ini semakin mudah menjalankan kegiatan mereka. Justeru, masyarakat hari ini perlu mengambil tahu perihal yang berlaku disekeliling mereka tetapi tidaklah sehingga mengganggu urusan seharian mereka.
"Tanpa disedari perbuatan bersekedudukan ini antara perbuatan yang menghampiri zina yang telah terang lagi nyata akan balasan dan dosanya. Dan tidak ada satu agama pun yang mengizinkan berlakunya penzinaan ini. Ini sepatutnya sudah menjadi pegangan anak-anak muda hari ini," jelasnya lagi.
Selain itu, bersekedudukan ini juga sama juga dengan perbuatan berkhalwat. Terdapat firman Allah yang melarang perbuatan ini. "Dan mereka yang menjaga kehormatannya (yang menjaga nafsu syahwatnya daripada perbuatan zina), kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, (sesiapa yang mengadakan hubungan dengan yang bukan isterinya atau hambanya) maka merekalah orang-orang yang melampaui batas." –surah al-mu'minun:5-7-

Bukan Terlupa Tetapi Pura-Pura Lupa


Apabila kita melihat manusia pada zaman kini, sudah banyak yang lari dari landasan yang benar. Ramai yang mula mengambil jalan singkat ke neraka sedangkan bilangan yang mengambil jalan yang diredhai oleh Allah SWT amatlah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil jalan singkat ke neraka ini.
Wahai kawan sekalian sedarkah anda,
Maksiat yang berleluasa di sana-sini,
Batas pergaulan pula tidak dijaga,
Pegangan agama entah ke mana?
Begitulah ibaratnya mereka yang bergelar Islam hanya pada namanya yang indah tertulis ‘Binti’dan ‘Bin’ namun perangainya tidak seindah itu. Inilah hakikatnya yang pahit. Sekiranya kita pergi ke mana-mana pusat membeli-belah, sudah tentu kita akan melihat si pembuat dosa ini bermaharajalela.
Ada yang tudungnya terbang,
Ada yang berpegang-pegangan,
Ada yang dirinya ditayang-tayang,
Sedihnya apabila agama tidak dipegang.
Kaum hawa terutamanya, sudah kian hilang rasa malunya. Tegar mendedahkan aurat di sana-sini. Seolah-olah perkara tersebut adalah perkara yang diredhai Allah. Apabila ditanyakan kepada mereka, "Bilakah akan terbuka hatimu untuk bertudung?". Pasti kebanyakan mereka akan menjawab seperti ini:
    • "Alaa...esok lusalah saya insaf!"
    • "Tudung itu harus dipakai dengan ikhlas,mana boleh paksa-paksa? Belum dapat petunjuk lagi, insyaAllah suatu hari nantilah."
    • "Suka hati akulah bila aku nak pakai tudung. Orang yang pakai tudung lagi teruk perangainya daripada aku, jangan sibuk nak tegur akulah."
    • "Kau jangan nak lecture aku. Aku tahulah apa yang betul atau tak!"
    Itulah kebanyakan jawapan dan alasan yang kita dengar daripada anak-anak gadis kita sekarang. Mari kita kaji pula tafsiran Surah An-Nur ayat ke-31.
    Katakanlah kepada wanita yang beriman:Hendaklah mereka menahan pandangannya,dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya,kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya,kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka,atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka,atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. [Surah An-Nur: 31]
    Sudah terang lagi bersuluh bahawa kaum hawa diwajibkan oleh Allah SWT untuk menutup aurat mereka. Tetapi mereka yang tidak tahu malu kepada Allah masih berani mengatakan bahawa mereka belum ’insaf’ untuk menutup aurat mereka.
    Wahai kaum hawa yang sudah hilang dari jalan yang benar, insaflah sementara pintu taubat Allah masih terbuka. Andai ajalmu tiba pada hari esok, semuanya sudah terlambat. Ingatlah!
    Menutup aurat itu bukanlah kehendak sama ada kita mahu atau tidak, tetapi ia merupakan kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.
    Di antara punca utama mengapa kes-kes rogol kian berleluasa adalah kerana kaum wanita yang suka menayangkan tubuh mereka yang kononnya seksi, hot, dan pelbagai lagi istilah untuk menggambarkan betapa hebatnya badan mereka itu. Malah, ramai menyalahkan kaum lelaki kerana terlalu miang.
    Persepsi ini salah! Lelaki, kalau tidak ada apa-apa yang menaikkan syahwatnya, nescaya lelaki tidak akan bertindak sedemikian. Wanita kini yang sibuk berdandan terleka dan sibuk mengejarkecantikan duniawi sedangkan mereka lupa bahawa kecantikan yang paling diredhai Allah ialah kecantikan menutup aurat.
    Buat kaum adam pula, bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nur, ayat ke-30 yang bermaksud:
    Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.
    Jelas bahawa lelaki juga harus memelihara pandangan mereka dari perkara-perkara yang boleh mengundang maksiat. Namun,mereka lupa, atau pura-pura lupa. Yang lebih memalukan adalah ada yang tidak mengetahui tentang perkara tersebut.
    Berpakaian terkoyak sini sana,
    Berseluar sendat nampak susuk badannya,
    Lelaki pula naik syahwatnya,
    Hingga maksiat kian berleluasa.
    Beginilah yang terjadi apabila kaum wanita ingkar perintah Allah SWT. Dosanya bukan sahaja kerana dia tidak menutup aurat, tetapi dosanya berlipat ganda apabila dipandang oleh lelaki sehingga timbul syahwatnya. Lelaki pula, dosanya bukan sahaja kerana melihat aurat si wanita, namun dosanya pasti berlipat ganda sekiranya lelaki itu berjaya memujuk sehingga hilanglah ’mahkota’ wanita tersebut.
    Kemudian,berdosa pula mereka yang membuang bayi luar nikah. Semuanya bermula kerana ingkar menutup aurat dan ingkar menjaga pandangan.
    Bukan sahaja soal aurat menjadi persoalan zaman ini,malah soal batas pergaulan menjadi isu yang panas.
    “Hai sayang...I rindu dengan you, nanti kita dating kat tempat biasa ye.”
    Manusia yang kemaruk cinta sebegini amatlah mudah untuk digoda syaitan untuk melakukan maksiat. Memang tidak hairan kerana di dalam masyarakat kita kini, budaya couple dianggap sebagai perkara biasa. Betapa salahnya mereka. Allah telah memerintahkan kaum lelaki dan wanita agar menjaga pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka.
    Allah tidak pernah menyuruh kita untuk bercouple, berpegang-pegangan dan bermesra-mesraan. Betapa manusia kini berpura-pura lupa. Sehinggakan ada yang sanggup berkorban segala-galanya demi si dia yang dicintai.
    Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu bukanlah hubungan pernikahan yang sah?
    Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu dilandaskan oleh nafsu dan kehendak hati yang dibisik oleh syaitan?
    Sekiranya mengadakan hubungan terlarang sebelum perkahwinan itu baik kononnya, fikirkanlah mengapa Allah menyuruh kita agar menjaga kehormatan dan pandangan kita?
    Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita. Cintailah Allah terlebih dahulu, nescaya kamu tidak akan hilang arah. Apabila si wanita dan lelaki berdua-duaan, mereka lupa bahawa pihak ketiga adalah syaitan. Orang yang bercinta begitu khusyuk menuturkan kata-kata cinta, sehinggakan mereka tertinggal solat dan meninggalkan pegangan agama mereka, semuanya kerana mereka tunduk kepada nafsu dan bisikan syaitan.
    Malulah kepada Allah SWT,
    Contohilah Rasulullah SAW,
    Jauhilah maksiat.
    Jagalah pandanganmu,
    Peliharalah auratmu,
    Wahai anak-anak Adam,
    Janganlah berpura-pura lupa,
    Kerana mungkin sahaja ajalmu esok.