Blogger Layouts
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam haditsnya:

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya adalah wanita yang shalihah. Bila engkau memandangnya, ia menggembirakan (menyenangkan)mu. Bila engkau perintah, ia menaatimu. Dan bila engkau bepergian meninggalkannya, ia menjaga dirinya (untukmu) dan menjaga hartamu.”

Ahad, 3 April 2011

Usah Menanti Syurga Di Pintu Neraka


"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Surah al-Ankabut , ayat 64)


Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup. Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud, " Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu."


Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.
Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?
Bentuk-bentuk Hidayah
Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.
Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.
Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.
Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud, "Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."
Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.
Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

Bila Diri Dihina


DIAM dan SABAR. Sememangnya susah dan sukar untuk kita lakukan bila kita dihina, diumpat, dikeji, difitnah atau dimalukan lebih-lebih lagi khalayak ramai, di pejabat atau dalam masyarakat. Namun itulah tindakan yang terbaik bagi kita. Bila kita menjawab balik hinaan yang dilontarkan pasti bukan kita yang bercakap tapi yang "bertanduk dua" yang sedang menguasai akal fikiran kita pada masa tu. Jadi, seeloknya kita diam sejenak. Istighfar di dalam hati banyak-banyak dan ingatkan diri kita supaya bersabar menghadapi hinaan yang dilontarkan.
Dalam situasi bila mana kita terasa diri kita sangat lemah umpama anak ikan yang dikelilingi oleh jerung-jerung kelaparan kita tidak tahu apa yang harus kita lakukan. Untuk tujuan itu, saya ingin kongsikan sedikit panduan dalam menghadapi keadaan bila mana kita dihina. Antaranya ialah:
  1. Orang yang menghina kita dengan menggunakan perkataan yang teruk (Contohnya bangang, bodoh, gedik dan sebagainya) sebenarnya sedang mendoakan keburukan itu untuk dirinya, suami atau isteri mereka, ahli keluarga, adik-beradik dan lebih parah lagi sebenarnya mereka mendoakan untuk anak-anak mereka. Nauzubillah.. 
  2. Sebenarnya cacian dan hinaan yang dilemparkan itu adalah RAHMAT daripada ALLAH. Kenapa? Sebab setiap hinaan yang dilontarkan kepada kita adalah penghapus bagi setiap dosa-dosa kita semalam. Lebih beruntung lagi kita akan dapat banyak pahala percuma. (Tapi dengan syarat kita kena sabar dengan apa yang berlaku) 
  3. Ingatlah bahawa ada HIKMAH di sebalik setiap dugaan dan cabaran yang kita hadapi. Sebenarnya Allah hendakkan hamba-Nya kembali kepada-Nya. Mengadu kepada-Nya lantaran sebelum ini kita semakin jauh, lalai dan lupa kepada-Nya.
  4. Bila kita difitnah, kita akan tak dapat tidur malam lantaran memikirkan tentang fitnah yang dilontarkan kepada kita. Maka, kita dengan sendirinya akan bangun bertahajud setiap malam mohon kepada Allah agar diberi ketenangan, kemaafan dan keampunan dari-Nya sepanjang hidup ini.Kesan daripada itu (Sentiasa bertahajud selalu), hati akan menjadi semakin tenang dan bahagia walaupun dikelilingi orang yang sentiasa mencari salah kita dan orang yang tidak mahu memandang wajah kita. 
  5.  HIKMAH dan REZEKI yang melimpah ruah menanti kita di sebalik ujian tersebut. Contohnya Allah permudahkan segala urusan kita. Allah pertemukan kita dengan rakan-rakan yang mulia hatinya, rakan-rakan yang boleh membantu kita menjana ekonomi kita dengan lebih mantap, pasangan yang memahami dan menyayangi kita dengan sepenuh hatinya, anak-anak yang baik, keluarga yang memahami dan pelbagai lagi.
  6.  Kita juga akan menemui dan dapat menilai siapa sahabat kita yang sebenar dan siapa musuh kita. Cara dan gaya hidup kita pun mungkin akan berubah ke arah lebih baik dan lebih bermotivasi. Mungkin sebelum ni kita susah nak baca buku-buku yang bermanfaat. Mungkin kita juga berpeluang mengenali tokoh-tokoh motivasi yang hebat yang terkenal di seluruh dunia. (Contoh : Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, Imam Ghazali dan lain-lain). Selain itu, kita juga akan mampu untuk menjadikan diri kita insan yang sangat kuat, tabah, sabar dan mengubah seluruh pemikiran dan idea kita selama ni.

Pendek kata, apa yang berlaku pada kita walaupun buruk pada pandangan manusia, namun sebaliknya pada pandangan Allah. Fikirkanlah bahawa semua yang berlaku adalah RAHMAT ALLAH. Insya-Allah hidup kita lebih tenang, bahagia dan sangat matang. Insya-Allah.

kesembuhan Itu Milik Allah


Sesungguhnya kesembuhan itu milik Allah. Kata-kata yang telah dijadikan perangsang bagi memotivasikan diri sendiri dan insan lain yang sedang sakit dalam menghadapi keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Begitulah antara ujian kecil berupa penyakit yang dihidapi oleh kebanyakan insan yang telah dipilih oleh Allah sebagai bukti kasih sayang-Nya, kafarah dosa dari-Nya, dan peningkatan darjat hambaNya.
Sesungguhnya penyakit yang diturunkan oleh Allah ini banyak menguji ketahanan fizikal dan mental, kerana tempoh  tersebut merupakan titik tolak ke arah kesedaran bahawa kematian akan mengejar kita bila-bila masa sama ada bersedia atau tidak.
"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." [al-Nisaa' 4:78]
Mengingati saat menziarahi jenazah suami kepada seorang sahabat yang meninggal dunia secara tiba-tiba tahun lepas telah banyak mengubah paradigma tentang kematian itu sendiri. Sama ada kita bersedia atau tidak, bertaubat atau belum bertaubat, ajal itu pasti akan datang, cuma waktu dan ketikanya sahaja tidak diketahui. Cuma persoalannya, adakah kita telah bersedia dengan bekalan-bekalan yang disediakan? Adakah cukup bekalan yang disediakan? Bagaimanakah keadaan kita semasa dalam alam kubur? Bernasib baik atau sebaliknya?
Hal ini sedikit sebanyak telah menghantui diri sendiri sehingga telah mewujudkan suatu ketakutan yang luar biasa dalam diri. Hal ini ditambah pula dengan penyakit yang dialami yang masih tidak sembuh-sembuh, telah meningkatkan lagi tahap ketakutan dan pada masa yang sama telah mewujudkan satu situasi yang tegang dalam emosi, fikiran serta memberi tekanan kepada diri sendiri.
Namun begitu, ketahanan mental dan fizikal berteraskan ayat-ayat Allah telah berjaya mengatasi masalah tekanan tersebut sehingga dapat kembali mewujudkan satu senario yang aman dan tenang hingga kembali semula kepada keadaan asal. Mengingati mati dapat melembutkan hati, tetapi apabila mengingati kematian itu secara negatif, hal ini akan dapat memberikan kesan negatif kepada diri sendiri.
Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, menyerahkan segala-segalanya kepada Dia, berdoa bersungguh-sungguhnya kepada-Nya, Sesungguhnya Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, akan mengabulkan dan memperkenankan doa kita. Berusaha, berdoa,berserah, bertawakal itulah tanda pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya.
"Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah, 2:153]
Segala masalah penyakit, rujuklah kepada Allah. Daripada-Nya datang segala kebaikan, dan kejahatan juga tidak berlaku dengan izin Allah. Kita perlu berikhtiar, berusaha dan doa-doa kita yang dimakbulkan dan ada juga yang Allah tangguhkan tetapi semuanya perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas.
Kuasa penyembuhan semuanya dari Allah. Kita sebagai hamba-Nya perlu redha dengan apa yang ditetapkan kerana setiap apa yang diturunkan kepada kita adalah ujian, sama ada kita dapat redha menerima atau tidak, semuanya untuk meningkatkan darjat kita di samping membersihkan dosa-dosa yang dilakukan.
Tidakkah semua ini adalah rezeki dari Allah, dimana Dia sering memberi perhatian kepada kita, tidakkah ini akan membuatkan kita sentiasa ingat pada-Nya? Anggaplah suatu penyakit itu sesuatu yang positif kerana jika kita redha dengan suatu ujian, Allah akan melipat gandakan pahala kita.Semoga anda semua cepat sembuh begitu juga diriku ini.
Adalah diharapkan artikel ini dapat membawa manfaat kepada semua dan marilah kita saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Kelalaian dan kelekaan terhadap duniawi pasti mewujudkan satu jurang yang besar dalam diri kita sendiri dengan Allah.Semoga artikel ini akan menjadi saksi bagi diriku di akhirat kelak sebagai salah satu medium untuk berdakwah kepada pembaca semua.
Redhalah dengan ujian yang kecil ini kerana ujian itu adalah hadiah dan cinta dari Allah. Bersabarlah dengan penyakit yang menimpa ini dan yakin akan sembuh kerana sesungguhnya kesembuhan itu milik-Nya, tiada apa yang kita cari melainkan dalam kembara hidup ini selain memburu cinta dan rindu-Nya.
Ungkapan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana penyakit yang ditimpakan kepada diriku tidaklah sehebat penyakit kritikal yang dihidapi oleh insan lain, walaupun kecil, penyakit ini tetap memberi kesan yang kuat terhadap sistem ketahanan fizikal disamping memberi tekanan yang hebat terhadap mentalku. Aku bersyukur aku masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menghirup udaranya yang segar ini. Berusaha, berdoa dan bertawakal itulah kekuatan sebenarnya dalam penyembuhan penyakit ini. Yakin dan positiflah dengan ujian penyakit yang diturunkan kepada kita.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." [Al-Ankabut, 29:2-3]
Akhir kata, jadikan ayat-ayat Allah sebagai peransang dalam meningkatkan motivasi dalaman kita dalam membentuk keperibadian soleh dan solehah.
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." [Al-Imran, 3:139]

Sesungguhnya Dialah yang mencipta perasaan cinta dan rindu itu. Semoga Dia yang sangat kita cintai dan kita rindui akan tetap terpahat kukuh dalam jiwa dan sanubari kita. Wallahua'lam.

Bagaimana Meringankan Beban Orang Yang Bersedih


Kehilangan orang yang disayangi adalah satu episod yang begitu sukar ditempuhi dan kesedihan serta sengsara yang dialami mungkin mengambil masa yang lama untuk 'berlalu'.
Dengan kehilangan itu menyusul pula cetusan pelbagai rasa dan emosi antaranya perasaan tergamam, marah dan rasa bersalah. Biasanya hidup seseorang dalam situasi ini akan menjadi gelap dan bertukar 'kosong'.

Beliau selalunya seolah-olah hilang punca, tercari-cari dan tidak pasti tentang apa yang telah dan akan berlaku. Dan bila kita menemui individu yang tenggelam dalam kemelut sebegini, kita tidak pasti dan takut untuk meluahkan apa yang dirasa kerana khuatir percakapan itu akan mengguriskan lagi perasaan dan mengeruhkan lagi keadaan.
Banyak kali, kita rasa seolah kita tidak boleh melakukan apa-apa bagi meringankan beban yang digalas oleh individu yang kehilangan insan dikasihi.Menurut Helpguide.org, jika kita gagal menghilangkan atau meredakan duka yang dihadapi mereka yang 'berduka' itu, sekurang-kurangnya kita boleh memberi ketenangan serta sokongan. Anda boleh bermula dengan memberitahu individu itu, agar dia tahu bahawa anda memang mengambil berat tentang dirinya.

Orang Lain, Lain Dukanya

Setiap perasaan duka yang dialami oleh seseorang adalah lain daripada apa yang dirasai individu lain. Ertinya bagi orang lain, lainlah kesedihannya. Menurut pensyarah kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Mejar (B) Dr Yahya Don, duka dan lara seseorang kehilangan yang dikasihi bergantung kepada beberapa faktor seperti personaliti, pengalaman hidup serta kepercayaan (agama).
"Luka dari kesedihan mengambil masa yang lama (untuk pulih). Sembuh dari kesedihan berlaku secara perlahan dan mengambil masa. Proses ini tidak boleh dipaksa atau dipercepatkan dan tiada jadual atau jangkamasa bagi sembuh dari kesedihan", beliau memberitahu Bernama.
Menurut Dr Yahya ada individu yang boleh pulih hanya dalam beberapa minggu atau bulan dan ada juga mereka yang mengambil masa selama bertahun-tahun. Katanya lagi mereka yang cuba membantu seharusnya bersabar dan membenarkan
mereka yang dibantu itu 'sembuh ' dan pulih dengan sendiri.
"Seseorang yang sedang berduka tidak sepatutnya dihalang dari menangis kerana bila individu itu sedang melalui satu tempoh yang sukar, perkara yang terbaik bagi mereka yang ingin membantu adalah membiarkan kesedihan itu berlalu dengan sendirinya", kata beliau.
Dr Yahya juga menasihati mereka yang ingin membantu agar mengelak dari cuba 'membetulkan' keadaan. Katanya percakapan seperti "ianya sudah ditentukan (sebegini) atau "ramai orang telah melaluinya" seharusnya dihindarkan. Menurut pakar terapi Pamela Jerry, percakapan seperti "dah lah tu", "semua orang akan melaluinya" atau "fikirkan tentang orang lain yang menerima nasib lebih buruk" adalah sama sekali perlu dielakkan.
Percakapan sebegini akan membuatkan seseorang yang berduka itu menjadi lebih sedih. "Saya fikir tidak bijak bagi kita memberi anggaran tentang kesedihan yang berlaku kerana kesedihan adalah berlainan dari satu individu ke individu yang
lain.
"Anggap anda mempunyai nasib yang sama dan dengar apa yang mereka ingin luahkan. Biarkan dia tahu bahawa dia bukan keseorangan dan anda ada bersamanya untuk berkongsi apa yang dia rasakan".

Tidak Perlu Cakap Apa-Apa

Menurut satu artikel yang ditulis Vivian Nelson Melle, ungkapan 'membisu seribu bahasa' sememangnya benar dan ini memang tepat kerana seseorang yang kehilangan yang dikasihi akan dibanjiri dengan banyak memori bermain di fikirannya.
"Perkara terakhir yang mereka mahu ialah 'bercakap' tentang episod itu. Hanya bila seseorang yang berduka bersedia (untuk bercakap), barulah mereka mula bercakap tentang apa yang mereka alami. Sehingga tibanya masa itu, menyepi adalah lebih baik," kata beliau.
Bagaimanapun Dr Yahya mempunyai pendapat yang berlainan. Katanya, ramai orang yang menjauhi individu yang bersedih disebabkan mereka tidak tahu apa yang sebenarnya perlu dicakapkan dan perkara yang paling buruk boleh dilakukan adalah dengan 'membisu'.
Menurut pensyarah itu, orang takut meluahkan percakapan yang salah yang boleh memburukkan lagi keadaan. Oleh itu interaksi yang sebaiknya adalah dengan mengucapkan "Saya tidak pasti tentang apa yang awak rasa atau perlu, tetapi saya ada di sini untuk membantu. Beritahu saya apa yang awak perlukan".
"Berkongsilah tentang pengalaman yang pernah dilalui dan bagaimana anda menyelesaikan episod itu. Hindarkan daripada memberitahu apa yang dia rasa dan menyuruh dia berhenti bersedih. Itulah dua perkara yang perlu dielak", kata Dr Yahya.

Membantu Urusan Harian

Menurut Dr Yahya lagi, seorang yang berduka akan kelihatan seolah-olah tidak bermaya dan tiada motivasi baginya untuk berbuat apa-apa. Oleh itu mereka yang ingin membantu boleh menawarkan pertolongan bagi menjalankan kerja harian seperti membasuh pinggan serta pakaian yang kotor.
Bagi Dr Yahya, mereka yang kehilangan orang yang dikasihi akan melalui empat fasa kesedihan - penafian, kemarahan, kemurungan dan akhirnya penerimaan. "Janganlah cuba menenangkan dengan mengatakan 'luka itu boleh sembuh dengan masa' sebaliknya dengarlah apa keluhannya dan nyatakan yang anda faham dan ingin berkongsi duka itu.